Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

DUNIA SEPAKAT MENAWAN LIBYA


Pemimpin dunia memuji kejayaan pemberontak menamatkan pemerintahan rejim Muammar Gaddafi yang berkuasa sejak 42 tahun lalu, sambil menggesa beliau berundur bagi mengelak lebih banyak pertumpahan darah. Walaupun kebanyakan mereka berpendapat masa depan Libya perlu ditentukan sendiri oleh rakyatnya, tekanan semakin meningkat mahukan diktator itu dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Di WASHINGTON, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, menggesa Gaddafi mengaku kalah dan memenuhi kehendak rakyat agar menyerah dan meletak jawatan. “Malam ini kuasa Gaddafi sampai ke penghujung. Tripoli sudah terlepas daripada pemerintahan kuku besi. Rakyat Libya menunjukkan komitmen tidak berbelah bagi mengembalikan maruah dan kebebasan mereka,” katanya. Beliau berkata, masa depan Libya kini berada di tangan rakyatnya dan berikrar bekerjasama serta meningkatkan hubungan baik dengan majlis pemberontak.

Di BEIJING, China berkata ia menghormati kehendak rakyat Libya yang mahukan perubahan dan berikrar meneruskan kerjasama dengan Libya untuk pembangunan dan pemulihan semula negara itu. “China berharap keamanan di Libya akan dipulihkan segera. Negara itu sudah lama dalam keadaan huru-hara sehingga rakyatnya hidup sengsara. China bersedia bekerjasama dan membantu Libya untuk pembinaan semula negara itu,” kata jurucakap kementerian luar Ma Zhaoxu dalam kenyataan. China sebelum ini mengambil pendirian tidak campur tangan dalam konflik di Libya, namun beberapa bulan kebelakangan ini negara itu semakin terbabit dengan pemberontak dan beberapa kali mengadakan pertemuan dengan anggota Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC)

Di LONDON, Perdana Menteri Britain, David Cameron memendekkan lawatan ke Cornwall untuk menghadiri satu mesyuarat keselamatan membabitkan Libya semalam, kata pegawai. “Gaddafi melakukan jenayah terhadap rakyat Libya dan mesti berundur untuk mengelak lebih banyak pertumpahan darah. Anggota keselamatan yang masih setia kepada Gaddafi perlu meletak senjata dan menyerahkan kuasa kepada yang berhak,” katanya.

Di PARIS, pejabat Presiden Nicolas Sarkozy mengeluarkan kenyataan menggesa Gaddafi meletak jawatan dan mengakhiri penderitaan yang dihadapi rakyat Libya berikutan pertempuran yang berlarutan sejak lebih enam bulan lalu. “Apa yang jelas, Gaddafi tidak lagi diterima rakyat. Beliau sudah digulingkan dan kini bukan lagi pemerintah yang sah untuk Libya,” kata kenyataan itu.

No comments:

Post a Comment