Walaupun Kerajaan BN mendabik dada kononnya begitu prihatin dengan kebajikan rakyat, para penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) terutama di Kuala Lumpur terpaksa menanggung sekurang-kurangnya 9 jenis permasalahan yang sebahagiannya boleh disebut azab.
Kajian yang dilakukan oleh Unit Penyelidikan Konvensyen Tanah dan Perumahan Kuala Lumpur (KOTA 2011) mendapati permasalahan pertama membabitkan ketidakselesaan kepada para penghuni, apabila ribuan keluarga diletakkan dalam ruang yang sempit yang disusun padat sebagaimana buku-buku di rak perpustakaan.
Pengarah KOTA 2011, Mohd Nasaie Ismail (gambar) berkata, keluasan rumah yang sangat sempit kurang 65 meter persegi, malah ada yang dibina di bawah paras minima keluasan rumah kos rendah yang sepatutnya iaitu 60 meter persegi sangat tidak sesuai untuk seisi keluarga, tambahan pula rumah dibina sehingga 17 tingkat ketinggiannya.
Menurutnya, reka bentuk rumah yang rapat dengan tingkap bersebelahan dengan rumah sebelah atau tingkap berhadapan secara dekat dengan rumah berikutnya menyebabkan berlakunya pencerobohan hak-hak privasi.
Katanya, sebab itulah tidak pelik banyak gejala sosial berlaku di PPR yang bukan sahaja melibatkan remaja, tetapi juga orang dewasa dan tua.
"Reka bentuk rumah yang menyekat cahaya dan udara masuk ke rumah disebabkan pembinaan berlapis-lapis dan tingkap yang sedikit serta terpaksa dilangsirkan secara tertutup, turut mendatangkan masalah besar kepada penduduk.
"Keadaan itu memaksa penduduk menghabiskan banyak tenaga letrik untuk bercahaya dan berudara lebih di siang hari dan malam hari. Jika tidak, rumah akan bergelap dan penghuninya kepanasan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Azab lain, menurut beliau, rumah-rumah tersebut dibina dengan bahan yang berkualiti rendah sehingga menyebabkan kerap berlaku kerosakan struktur rumah penduduk dan kawasan yang dikongsi bersama menyebabkan keselamatan penduduk terancam.
Katanya, masalah tersebut berlaku disebabkan tindakan yang disengajakan oleh pihak-pihak terbabit bagi menjimatkan kos untuk meminimakan pebelanjaan dan memastikan ia cepat siap.
"Akibatnya, berlakulah pula pembaziran wang untuk membaik pulih dan juga mendatangkan bahaya kepada penghuni," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan.
Manakala masalah lain pula, menurutnya, para penghuni terpaksa berhadapan dengan masalah parkir kereta yang tidak mencukupi, apabila terdapat di antara PPR itu hanya menyediakan 30 peratus unit parkir sahaja berbanding jumlah perumahan.
"Ini menyebabkan wujudnya parkir berlapis-lapis, suatu pandangan wajib akan kita lihat di kawasan PPR apabila kenderaan parkir berlapis-lapis sehingga ke jalan utama dan membayakan pengguna," ujarnya.
Oleh itu, menurut beliau, PPR yang berlambak di Kuala Lumpur sekarang boleh diibaratkan sebagai penjara paksa buat rakyat, menjadikan perumahan yang dibina oleh kerajaan itu bukan sekadar gagal menyelesaikan masalah perumahan, bahkan mendatangkan kesan buruk berganda kepada rakyat.
Perumahan yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia kesembilan (RMK9) itu, katanya, bertujuan memastikan rakyat mendapat kemudahan perumahan yang mencukupi untuk dibeli atau disewa khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.
"Ia berterusan dalam RMK10 dan RMK11. Pada tahun 2012 akan datang, diperuntukkan RM443 juta untuk membina 8,000 unit PPR untuk disewa dan 7,000 PPR untuk dijual," katanya.
Di Kuala Lumpur sahaja sekarang, jelasnya, terdapat 25 projek perumahan rakyat (PPR) yang melibatkan 32,762 unit yang dibina di Bandar Tun Razak, Pudu, Cheras, Lembah Pantai, Kepong dan beberapa kawasan lagi.
Ia dibina untuk menggantikan perumahan setinggan yang dirobohkan di seluruh Kuala Lumpur dan juga perumahan rakyat berpendapatan kurang RM2500 buat masa ini.
"Pada April 2010, kerajaan telah menawarkan penjualan 21,611 unit PPR di Kuala Lumpur kepada penghuni sedia ada. Daripada jumlah itu, hanya 10,159 sahaja yang layak membeli PPR ini, manakala bakinya bermasalah untuk mendapat kelulusan pembelian atas pelbagai sebab," tegasnya.
Sebahagian masalah yang dinyatakan itu, tegas beliau, merupakan azab yang diterima rakyat yang terpaksa menghuni perumahan itu demi melindungi keluarga masing-masing.
"Apa yang mengerikan, kesan besar kepada permasalahan ini akan menyebabkan runtuhnya institusi sosial dan menularnya gejala tidak sihat seperti perceraian, zina, ragut, rompak, penagihan dadah, pergaduhan sesama masyarakat dan pelbagai masalah lagi.
"Ini disebabkan rumah yang sempit yang tidak menjadi tempat kondusif perlindungan seisi keluarga dan juga ruang privasi yang diceroboh," tegasnya.
Rentetah itulah, pihaknya telah mengambil keputusan untuk menganjurkan Konvensyen Tanah dan Perumahan Kuala Lumpur 2011 (KOTA 2011) esok, 20 Oktober bermula jam 9.00 pagi di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, bagi membincangkan masalah perumahan rakyat dan tanah di bandaraya Kuala Lumpur.
"Sudah menjadi satu desakan kepada kami, parti-parti politik, NGO, badan-badan bertindak perumahan dan persatuan-persatuan penduduk untuk bersatu dalam satu Konvensyen khas bagi merumuskan penyelesaian berpanjangan kepada permasalahan yang disebutkan.
"Bukan sekadar masalah PPR, tetapi juga perumahan awam lain, masalah Kampung Baru, kampung-kampung tradisi dan setinggan akan menjadi tajuk perbincangan kami pada esok hari," katanya.
Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh penduduk Kuala Lumpur dan luar Kuala Lumpur sama ada daripada NGO, parti politik, ahli akedemik dan orang perseorangan menyertai KOTA 2011.
Mereka yang berhajat untuk menyertainya dan memerlukan maklumat lebih lanjut bolehlah menghubungi Khalil menerusi hand phone bernombor 019-4002609.
"Semoga ada cahaya yang cerah di sebalik KOTA 2011 untuk masyarakat bandaraya ini," ujar beliau.
P/S: Sini
No comments:
Post a Comment