Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

HELIKOPTER TERHEMPAS | PEJUANG SEJATI


Militan Taliban mengumpan tentera Amerika Syarikat hingga masuk perangkap sebelum menembak jatuh helikopter yang meragut nyawa 30 anggota tentera penceroboh itu, Jumaat lalu. Pegawai kanan Afghanistan memberitahu, komander Taliban, Qari Tahir, mengumpan tentera Amerika ke kawasan itu dengan memberi maklumat satu perbincangan akan diadakan. “Memang benar helikopter itu ditembak jatuh hasil perangkap komander Taliban. Mereka tahu laluan helikopter itu. Mereka mengambil tempat di kiri dan kanan gunung dan apabila helikopter dekat, mereka menyerangnya dengan roket dan senjata moden. “Helikopter itu terhempas disebabkan tembakan bertalu-talu,” kata pegawai terbabit, memetik risikan yang dikumpul. Katanya, empat warga Pakistan turut membantu Tahir melancarkan serangan.

Pegawai berkenaan juga berkata, Presiden Hamid Karzai berasakan serangan itu sebagai membalas dendam ke atas pembunuhan Osama bin Laden, Mei lalu. Pergerakan Taliban tidak membuat kenyataan mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu yang berlaku di kubu kuat militan di daerah Sayd Abad, wilayah Wardak. Bagaimanapun, Presiden Barack Obama memberi jaminan kejadian yang secara keseluruhan membunuh 38 orang itu tidak akan menyekat askar asing berjaya dalam misi di Afghanistan manakala Pentagon menyifatkan nahas Chinook itu tidak akan menjejaskan strategi Amerika.

Serangan lewat Jumaat lalu mencatatkan kehilangan nyawa paling ramai tentera Amerika dan NATO sejak pencerobohan diketuai Washington di Afghanistan menumbangkan pemerintahan Taliban pada tahun 2001, sejurus selepas serangan 11 September. Kehilangan helikopter Chinook ketika operasi antiTaliban di barat daya Kabul itu memberi tamparan hebat kepada pasukan khas Amerika, yang mempunyai 25 anggota dalam pesawat berkenaan ketika tragedi itu iaitu 22 komando SEAL tentera laut dan tiga anggota Pasukan Operasi Khas Tentera. Lima kakitangan tentera Amerika, tujuh komando Afghanistan dan seorang penterjemah turut maut. Di Washington, Obama berkata, kematian 30 anggota tentera itu memberi motivasi kepada rakan setugas mereka.
 

No comments:

Post a Comment