Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KEGAGALAN DEMI KEGAGALAN JEPUN DI FUKUSHIMA


Tokyo Electric Power Co (TEPCO) berkata pihaknya gagal dalam cubaan untuk menyejukkan dan menutup loji jana kuasa nuklear yang teruk dilanda gempa bumi dan tsunami di Fukushima menjelang Januari depan, ketika krisis nuklear terburuk dunia sejak 25 tahun lalu itu berterusan. Usaha menyahcemar air yang tinggi kandungan radioaktifnya di loji itu ditangguhkan berikutan kegagalan peralatan penyerapan bahan radioaktif cesium, yang menyebabkan kebocoran air dan kerosakan pam, menjejaskan proses menstabilkan loji yang semakin teruk itu. “Tidak mustahil usaha menyahcemar tidak dapat diselesaikan seperti yang dirancang menjelang akhir tahun ini, walaupun kami masih belum memutuskan untuk mengubah sebarang perancangan.

“Ia mungkin akan menjejaskan proses penyejukan dan penutupan loji,” kata seorang jurucakap syarikat yang enggan dikenali. Ulasannya disusuli kenyataan sama oleh jurucakap TEPCO mengenai isu nuklear, dan Junichi Matsumoto kelmarin yang dilaporkan dalam akhbar harian perniagaan Nikkei. Penutupan dan penyejukan biasanya didefinisikan sebagai kandungan air di dalam reaktor yang berada di bawah paras 100 darjah selsius dalam atmosfera biasa, mengelak bahan api radioaktif itu daripada panas semula. TEPCO juga mengesahkan semalam bahawa ia menguji satu peralatan pemprosesan air radioaktif ketika ia bertungkus lumus menangani kerosakan akibat gempa bumi dengan magnitud 9.0 dan tsunami yang meranapkan pantai timur laut Jepun Mac lalu.

Dengan anggaran hanya 42,000 tan air tercemar diproses menjelang 9 Ogos, 120,000 tan masih tinggal di ruang bawah bangunan turbin dan di tempat lain. TEPCO menetapkan matlamat memproses 200,000 tan air radioaktif menjelang akhir tahun ini berikutan lebih banyak air akan tercemar dalam proses memastikan reaktor rosak terkawal. Pihak berkuasa TEPCO dan Menteri Krisis Nuklear Goshi Hosono merancang mengadakan satu sidang media bersama jam 4.30 petang semalam (0730 GMT) untuk menjelaskan perkembangan tugas mengawal semula reaktor rosak.

Ujian bagi peralatan menyerap cesium Toshiba Corp, dikenali sebagai Sarry, dijalankan dengan mengalirkan air radiasi tahap rendah melalui peralatan dari syarikat nuklear Perancis Areva SA dan syarikat pengurusan sisa nuklear Amerika Syarikat Kurion Inc. Ia dijadualkan beroperasi sepenuhnya seawal Khamis ini, kata pihak berkuasa TEPCO. Sarry lebih mudah diurus kerana ia memiliki kurang pam yang sering rosak. Walaupun sistem ini beroperasi sepenuhnya, kadar keseluruhan operasi kekal pada 90 peratus. Secara kasar 195,000 tan air tercemar akan diproses tahun ini.

No comments:

Post a Comment