Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENUNJUK PERASAAN VS POLIS


Demonstrasi secara aman bertukar tragedi apabila penunjuk perasaan bertempur dengan polis pencegah rusuhan di utara ibu negara Britain kelmarin berikutan kematian seorang lelaki yang ditembak pegawai polis awal minggu lalu. Dalam kejadian itu, dua buah kereta peronda polis, sekurang-kurangnya sebuah kedai dan sebuah bas dua tingkat dibakar, memaksa polis meminta pasukan bantuan untuk menutup jalan raya. Tiada kecederaan dilaporkan.

Bantahan dilakukan berikutan kematian Mark Duggan, 29, yang maut selepas berbalas tembak dengan polis Khamis lalu. Lelaki terbabit berada di dalam teksi ketika dia diminta berhenti oleh pegawai bersenjata dalam operasi penangkapan yang dirancang lebih awal. “Keadaan amat teruk. Saya rasa tidak selamat. Saya lihat seorang lelaki diserang. Kemarahan memuncak di Tottenham malam ini, ketika melarikan diri saya melihat balai polis diserang,” kata seorang penduduk, David Akinsanya, 46, kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Pada lewat petang, Bilik Gerakan Operasi Khas ditubuhkan ketua polis Lambeth, untuk membincangkan cara menghentikan keganasan daripada terus merebak. Tunjuk perasaan pada mulanya aman membabitkan 120 orang yang berarak dari kawasan Broadwater Farm, lokasi rusuhan antipolis pada 1985. Mereka mendesak keadilan ditegakkan untuk mangsa.

Perusuh turut memecahkan kedai dan mencuri. Jurugambar diserang ketika cuba mengambil gambar orang ramai yang melarikan diri dengan troli dipenuhi barangan curi. Bas dua tingkat yang dibakar di bahagian atas ranap selepas 15 minit dan menyebabkan asap hitam tebal berkepul ke udara.

No comments:

Post a Comment